SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA : WONG SIEW SIAN D20112055730 EL-BP05(A121PJJ)

Sunday 7 October 2012

SELADANG

SELADANG

Picture

Seladang (Bos gaurus, dahulu Bibos gauris) ialah sejenis haiwan bovin yang besar dan berbulu warna gelap di Asia Selatan dan Asia Tenggara. Bilangannya yang terbesar pada hari ini adalah di India. Seladang ialah spesies lembu liar yang terbesar dan adalah lebih besar daripada Kerbau Tanjung, Kerbau Air Liar Asia, dan bison. Dalam konteks pelancongan safari, ia dikenali sebagai bison India, akan tetapi istilah ini tidak tepat daripada segi teknikal. Bentuk bela jinak Seladang dikenali sebagai gayal atau mithun.

Seladang dapat dikenal pasti menerusi rabung cembungnya yang tinggi pada dahi di antara tanduknya yang melentur dengan tetap ke depan. Ini menyebabkan lekuk pada tampang bahagian atas kepalanya. Hujung tanduk melentur ke dalam dan sedikit ke belakang, manakala kaki tanduk sangat leper. Telinga Seladang amat besar, tetapi ekornya hanya sampai ke pergelangan kaki belakang. Tidak terdapat gelambir yang jelas pada leher dan dadanya. Rabung di bahagian belakang sangat ketara.

Seladang jantan dewasa berwarna antara perang gelap sehingga hampir hitam bagi Seladang yang amat tua. Bagaimanapun, bahagian atas kepala dari atas mata sehingga tengkuk berwarna kelabu atau kekadangnya putih kotor. Muncung Seladang jantan berwarna pucat, dengan bahagian bawah kakinya berwarna putih tulen. Bulu jantan yang tua sangat nipis pada bahagian belakangnya.[1] Sebaliknya, warna Seladang betina dan anak lebih pucat dan kekadang mempunyai warna kuning keperang-perangan sedikit yang paling ketara bagi Seladang yang hidup di daerah kering dan terbuka. Tanduk Seladang berwarna hijau pucat atau kuning hampir pada sepanjangnya tetapi hujung tanduk berwarna hitam.[1]

Ciri-Ciri

Seladang tergolong dalam golongan benda hidup, alam : haiwan, filum : kordata, sub-filum :bertulang belakang (vertebrata), kelas : mamalia (berdarah panas, berbulu dengan kelenjar menyusu, dan menjaga anak) Aturan : Artiodactyla, Keluarga : Bovidae.

Seladang tergolong dalam keluarga yang sama dengan Lembu, Banteng dan Kambing Gurun. Seladang jantan yang matang boleh membesar dan mencapai ketinggian 2 meter (6 kaki) dan berat sehingga 900 kilogram. Jangka masa bunting/ mengandung adalah 9 bulan dan biasanya seekor anak dilahirkan. Anaknya mencapai tempoh matang dalam masa 3 tahun dan ia boleh hidup selama 25 tahun.

Seladang hidup di dalam kumpulan 4-8 ekor yang boleh mencapai sehingga 30 ekor. Kumpulan ini diketuai oleh seladang jantan yang berkuasa. Seladang lebih aktif ketika subuh dan senja serta berehat daripada pancaran terik matahari di bawah pokok sepanjang hari. Seladang adalah haiwan maun dan makanan utama Seladang adalah tumbuhan, terutamanya rumput-rumpai. Seladang mudah ditemui di kawasan di mana rumput, pokok herba, pokok renek dan daun-daun mudah diperolehi.

Seladang biasanya didapati di Hutan Tropika dan Tanah Berhutan.

No comments:

Post a Comment